Photobucket

Penghayatan Al Fatihah - Siri 1

Deruan ombak berdesir memukul pantai. Hitam pekat di dada langit. Dalam kegelapan menjelang tengah malam. Suami dan anak-anak sedang dibuai tidur yang lena. Tiada kelihatan bintang-bintang bergemerlapan seperti semalam. Awan menutupi dada langit, membawa bersamanya butiran-butiran air yang bakal dicurahkan ke bumi. Detik dan waktunya hanya Allah yang mengetahuinya.


Bisik hati kecilku lagi: “Adakah segelap ini hatiku? Adakah pemahamanku dengan bait-bait ayat Surah Al-Fatihah yang ku alunkan setiap rakaat di dalam sholatku lebih baik penghayatannya hari ini, detik ini, masa ini berbanding sholatku waktu asar sebentar tadi.

Masa 11.59 dan 9 detik tengah malam tanggal 4 hb.September 2011, akan berlalu. Detik ini tidak akan datang lagi. Mampukah kita bertolak ansur dengan malaikat maut sekiranya ditakdirkan mati jam 12.00 tengah malam ini. Mati suatu yang pasti. Wahai diriku yang bergelar Hamba Allah, bermula saat ini inginku hayati Al-Fatihah yang diucapkan dengan lidahku semuga berbekas di hati di dalam sholat sebagai bekal menjalani kehidupan bahagia di dunia dan bekal untuk dituai hasilnya di alam akhirat. Pastikan sholat dilakukan 5 kali sehari tidak kurang satu waktu pun.

Bismillah..

Satu ungkapan keramat .Hanya hati yang penuh khusyuk berlagu syahdu menyebutnya akan terkesan mendarah daging di dalam diri. Islam agamaku.

Bismillah..

Sebutan dengan  lidah.TIdak cukup sekadar sebutan oleh lidah yang tidak bertulang.Ia menuntut pembuktian amalan . Neraca apakah yang digunakan memandu gaya hidup seharian? Bermula dengan celiknya mata di pagi hari sehingga ia direhatkan dalam tidur yang lena. Beruntunglah  sekiranya detik hati yang dipandu wahyu Ilahi dalam setiap diam dan gerak anggota. Yakin akan adanya pembalasan setiap gerak anggota di hadapan Allah. Takut kepdanya walaupun tanpa melihatnya kerana Allah Maha Melihat.

Wahai Allah. Akulah hambamu. Kedua mataku pemberianmu. Kedua tanganku mampu digerakkan denga kudrat dan keizinanmu. Koordinasi setiap urat-urat tanganku, alirah darah yang membekali setiap helaian urat-urat ini dan saraf yang menghantar deria rasa panas, sejuk, sentuhan lembut dan kasar, gatal dan getaran diinterpretasi di otak pada lokusnya. Alhamdulillah. Kedua telingaku kurnianmu. Dengannya aku mampu mendengar bunyi yang ingin ku dengar dan menabir bunyi yang tidak diingini.

Bismillah..
Terkandung 99 nama-nama Allah di dalamnya.
Bismillah…
Aku lemah Ya Allah. Segala yang dipinjamkan kepadaku akan kupulangkan kepadamu dengan sebaik-baik. Sebagai pembuktian menjana kebaikkan di dunia dan akhirat.
Bantulah aku Ya Allah dalam setiap denyutan jantungku untuk mentaati perintahmu dan meninggalkan laranganmu. Bantulah aku Ya Allah dalam setiap helaan nafasku. Bantulah aku Ya Allah pada setiap kerdipan mataku. Bantulah aku di setiap detik dan ketika. Ketentuan waktu aku menemuimu pasti di dalam pengetahuanmu.
Allah itu dekat. Asal sahaja kamu mengingatiku dalam setiap denyutan jantungmu.
Allah itu dekat. Asal sahaja kamu mengingatiku di dalam setiap helaan nafasmu.
Allah itu dekat.Asal sahaja kamu mengingatiku di setiap kerdipan matamu.
Ingatlah Allah dalam alunan bacaan Al Quran.
Ingatlah Allah di dalam doa-doamu.
Ingatlah Allah di dalam zikir di setiap waktu yang terluang dan di dalam diammu.
Pasti – Hanya mengingati Allah, hati menjadi tenang.




Spicynodes